CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Sunday, February 22, 2009

sebelum terlena


Sebelum mata terlena

Di buaian malam gelita
Tafakurku di pembaringan
Mengenangkan nasib diri

Yang kerdil lemah dan bersalut dosa
Mampukah ku mengharungi titian sirat nanti
Membawa dosa yang menggunung tinggi
Terkapai ku mencari limpahan hidayahMu

Agar terlerai kesangsian hati ini
Sekadar air mata tak mampu
Membasuhi dosa ini

Sebelum mata terlena
Dengarlah rintihan hati ini
Tuhan beratnya dosaku
Tak daya kupikul sendiri

Hanyalah rahmat dan kasih sayangmu
Yang dapat meringankan hulurkan maghfirahmu
Andainya esok bukan milikku lagi
Dan mata pun ku tak pasti akan terbuka lagi

Sebelum berangkat pergi ke daerah sana
Lepaskan beban ini
Yang mencengkam jiwa dan ragaku

Selimuti diriku
Dengan sutra kasih sayangmu
Agar lena nanti kumimpikan
Syurga yang indah abadi

Pabila ku terjaga
Dapat lagi kurasai
Betapa harumnya
Wangian syurga firdausi.. Oh Ilahi

Di sepertiga malam
Sujudku menghambakan diri
Akan kuteruskan pengabdianku padamu

“...segala puji bagimu allah dan selawat dan salam keatas nabi junjungan kami muhammad saw...ya allah kerdilnya hambamu...tetapkan iman kami, jangan engkau membolak balikkan hati ini setelah engkau tunjukkan kepada kami jalan yang lurus....ya allah seandainya nafas ini terhenti, andainya ruh telah keluar dari jasad matikanlah kami sebagai para syuhadah menegakkan agamamu...ya allah matikan kami dalam kalimah la illaha illah allah....tiada tuhan yang disembah melainkan allah...ya allah kuatkan hambamu ini dalam menghadapi ujian dan mehnah dalam perjuangan kami...ya allah hanya kepadamulah kami memohon petunjukan dan hanya dengan makfirah dari mu ya allah kami tetap dalam jalan da'wah ini...ampunilah dosa-dosa kami sedar ataupun tidak, besar atau kecil, tersembunyi dan terzahir... ya allah pimpinlah kami kejalan yang engkau redhai...andai dihadapan kami nanti jalan da'wah kami berliku dan berduri, tsabatkan kami dalam menempuhinya ya allah, jangan engkau biarkan kami terkecundang di tengah jalan...andai di hadapan kami terbentang jalan yang berliku mengapai cintamu jangan biarkan kami tertewas dan berputus asa kepadamu ya allah...bantulah kami, redhailah kami...semoga cinta kami kepadamu sentiasa harum dan mewangi.....semoga redha dan kasih sayangmu bersama kami dalam jalan ini...ya allah bantulah kami...ya allah bantulah kami, ya allah bantulah kami....amin...amin..amin inilah rayuan hamba yang kerdil mengharapkan kasih sayang dan rahmatmu...”




Wednesday, February 18, 2009



"Bacalah: Dengan nama Tuhanmu yang Menciptakan, Yang menciptakan insan (manusia) dari sebuku (segumpal) darah (beku); Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar insan melalui (perantaraan) qalam, Yang mengajarkan insan apa yang tidak diketahuinya.” (Surah al-Alaq 1-5) - Wahyu berupa Ayat Pertama yang diturunkan oleh Allah SWT menerusi Malaikat Jibril A.S. di Gua Hirak

(ANTARA ISI PENTING YANG DIPETIK DARI KHUTBAH TERAKHIR (KHUTBAH WIDA') NABI MUHAMMAD RASULULLAH S.A.W.

Antara isi/kandungan penting yang dipetik dari khutbah terakhir Rasulullah SAW - disampaikan pada 9 Zulhijjah Tahun 10 Hijrah di Lembah Uranah, Gunung Arafah


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. (Semua manusia berasal dari Adam dan Hawa, tidak ada (bangsa) Arab yang lebih mulia dari (bangsa) bukan Arab atau (bangsa) bukan Arab lebih mulia dari (bangsa) Arab; juga tidak ada yang (berkulit) putih lebih mulia dari yang (berkulit) hitam atau yang (berkulit) hitam lebih mulia dari (berkulit) putih) Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh.

Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur an dan Sunnahku.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalahMU kepada hamba-hambaMu.



“Pada hari ini, telah Aku sempurnakan bagimu Agamamu, dan telah aku cukupkan nikmatKu untukmu, dan Aku redha Islam menjadi agamamu”. (Al-Maidah-3)Ayat Terakhir yang diwahyukan Allah SWT ke atas Baginda Rasulullah SAW tidak lama selepas Khutbah Wida'

Friday, February 13, 2009

auratku...


jom kita perhatikan kita nie dah tutup aurat ke belum? kadang2 cm dah tutup aurat jer...tapi mcm x cukup perfect pun ad...cm ner ek...jom kita perhatikan risalah nie....semoga dpt ilmu baru.ooo aurat tue sebenarnya begini... : )


gambar ihsan dari www.wannuremillia.blogspot.com

Friday, February 6, 2009

Sahabat sejati


January 30, 2007, 9:27 pm
Oleh: Haslinda Lukman

‘Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati..’

“Sebaik baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik baik jiran disisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya” (H.R al-Hakim)

ALLAH SWT mencipta makhluk di atas muka bumi ini berpasang-pasangan. Begitu juga manusia, tidak akan hidup bersendirian. Kita tidak boleh lari dari berkawan dan menjadi kawan kepada seseorang. Jika ada manusia yang tidak suka berkawan atau melarang orang lain daripada berkawan, dia dianggap ganjil dan tidak memenuhi ciri-ciri sebagai seorang manusia yang normal.

Inilah antara hikmah, kenapa Allah SWT mencipta manusia daripada berbagai bangsa, warna kulit dan bahasa. Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 13, yang bermaksud:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan berpuak-puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang lebih bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya.”

Dalam Islam faktor memilih kawan amat dititikberatkan. Hubungan persahabatan adalah hubungan yang sangat mulia, kerana kawan atau sahabat berperanan dalam membentuk personaliti individu. Ada kawan yang sanggup bersusah-payah dan berkongsi duka bersama kita, dan tidak kurang juga kawan yang nampak muka semasa senang dan hanya sanggup berkongsi kegembiraan sahaja.

Pendek kata sahabat boleh menentukan corak hidup kita. Justeru, jika salah pilih sahabat kita akan merana dan menerima padahnya. Selari dengan hadith Rasululah saw yang bermaksud: “Seseorang itu adalah mengikut agama temannya, oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang menjadi temannya” (H.R Abu Daud).

Bak kata pepatah Arab, “Bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita akan menerima percikan wangiannya, manakala bersahabat dengan tukang besi, percikan apinya akan mencarikkan baju kita.”

Apakah ciri-ciri seorang sahabat yang baik?

Seorang bijak pandai berpesan kepada anak lelakinya: “Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:

  • Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu;
  • Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu;
  • Jika engkau memerlu pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu;
  • Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik;
  • Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu;
  • Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya;
  • Jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya;
  • Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia akan menanyakan kesusahan kamu;
  • Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu;
  • Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu;
  • Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu;
  • Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan;
  • Dia membantumu menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan perkara buruk dan maksiat;
  • Dia mendorongmu mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

Sebagai remaja yang terlepas daripada pandangan ayah ibu berhati-hatilah jika memilih kawan. Kerana kawan, kita bahagia tetapi kawan juga boleh menjahanamkan kita.

Hati-hatilah atau tinggalkan sahaja sahabat seperti dibawah:

  • Sahabat yang tamak: ia sangat tamak, ia hanya memberi sedikit dan meminta yang banyak, dan ia hanya mementingkan diri sendiri.
  • Sahabat hipokrit: ia menyatakan bersahabat berkenaan dengan hal-hal lampau, atau hal-hal mendatang; ia berusaha mendapatkan simpati dengan kata-kata kosong; dan jika ada kesempatan membantu, ia menyatakan tidak sanggup.
  • Sahabat pengampu: Dia setuju dengan semua yang kamu lakukan tidak kira betul atau salah, yang parahnya dia setuju dengan hal yang dia tidak berani untuk menjelaskan kebenaran, di hadapanmu ia memuji dirimu, dan di belakangmu ia merendahkan dirimu atau mengkhianati amanahmu. Bila telah di percayai, dia khianati. Bila telah di cintai, dia dustakan.
  • Sahabat pemboros dan suka hiburan: ia menjadi kawanmu jika engkau suka berpesta, suka berkeliaran dan ‘melepak’ pada waktu yang tidak sepatutnya, suka ke tempat-tempat hiburan dan pertunjukan yang melalaikan.
  • Sahabat yang membawamu semakin jauh dari Allah. Seorang yang tidak menambah kebajikanmu di dunia, lebih2 lagi di akhirat. Seorang yang tidak menambah manfaat kehidupanmu di akhirat, bukanlah temanmu yang sebenar.

Hati-hatilah memilih kawan, kerana kawan boleh menjadi cermin peribadi seseorang. Berkawanlah kerana Allah untuk mencari redha-Nya.

Monday, February 2, 2009

Seindah permata ciptaan allah

Permataku.......

Wanita engkau adalah perhiasan terhebat ciptaan allah di muka bumi. Kecantikan dan keindahan hiasan permata secantik wanita yang telah allah ciptakan bukan untuk di pamerkan dan dibanggakan tetapi ia perlu dijaga buat seseorang yang telah allah ciptakan terbaik kepada seorang wanita iaitu seorang suami yang akan menjadi pelengkap kepada sebuah kehidupan. Siswi kesayanganku cuba renungkan firman allah ini dalam surah an nur ayat 31 allah berifrman :

Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung kedadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.

Ya allah begitulah kasih dan sayangnya allah kepada seorang yang bernama wanita sehingga allah menjadikan seorang wanita itu terlalu istimewa....untuk menjaga keindahan wanita itu allah telah memberi peringatan kepada kita wahai kaum hawa tutuplah auratmu seluruh anggota badan mu kecuali tapak tangan dan mukamu janganlah kamu memperlihatkan bentuk tubuh mu kepada yang bukan berhak untuk melihatnya. Firman allah ini untuk menjaga kaum hawa itu dari penindasan dan memelihara kaum wanita dari musibah-musibah seperti rogol, penzinaan dan mangsa penipuan dari golongan kaum adam yang sentiasa mencari peluang merosakkan seorang yang bernama wanita.

Wahai wanita secantik hiasan yang telah allah ciptakan, cuba renungkan analogi ini:

jika sebuah permata yang kita pamerkan di khalayak ramai tanpa pelindung dan dibiarkan terkena habuk dan debu, sentiasa dipandang dan dipegang oleh pengunjung dan sebuah lagi permata yang cantik diletakkan didalam sebuah bekas berkaca diselimuti dengan kain sutera dan terhindar dari sentuhan dan sentiasa bersih dari habuk dan debu. Yang mana satu pilihan dihatimu? samada sebuah berlian yang telah rosak dan sentiasa dipegang oleh pengunjung atau sebuah berlian yang diselimuti kain sutera dan dipagari dengan sebuah bekas kaca? Kedua –dua mempunyai harga dan bentuk yang sama. Jauh di sudut hati kita akan memilih untuk memiliki permata yang berada di dalam bekas berkaca. Begitulah ibarat seorang wanita yang menjaga auratnya sentiasa bernilai tinggi dan tidak diusik dan dirosakkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Martabat dan kehormatan mereka sentiasa terpelihara dan terjaga.

”ya allah jadikanlah kami hamba yang sentiasa menjalankan perintahMu dengan senang dan mudah. jauhilah kami dengan tipu daya dari syaitan. Ya allah tetapkan iman kami semoga akhir penghidupan kami adalah pengakhiran yang baik dan dibawah keredhaan mu dan kasih sayangmu...ya allah perkenankan”

wahai kaum wanita seindah hiasan dunia, gunakanlah akalmu untuk melihat kebenaran tuluskan dan ikhlaskan hatimu untuk mencari kebenaran. Cuba renungkan firman allah didalam surah al israa’ ayat ke 7.

Jika kamu berbuat baik (berarti) kamu berbuat baik bagi dirimu sendiri dan jika kamu berbuat jahat, maka (kejahatan) itu bagi dirimu sendiri, dan apabila datang saat hukuman bagi (kejahatan) yang kedua, (Kami datangkan orang-orang lain) untuk menyuramkan muka-muka kamu dan mereka masuk ke dalam mesjid, sebagaimana musuh-musuhmu memasukinya pada kali pertama dan untuk membinasakan sehabis-habisnya apa saja yang mereka kuasai.”

Maka apa yang kita lakukan adalah untuk diri kita sendiri samada kebaikan ataupun kejahatan. Jika kita mengimpikan syurga yang indah kekal abadi maka kita perlu berbuat kearah itu....sesungguhnya allah sentiasa mendengar rintihan dan taubat hamba-hambanya. Jika kita rasa belum tiba masanya untuk berubah kearah itu cuba kita renungkan adalah kita pasti akan hidup seratus tahun lagi ataupun adakah kita pasti akan hidup untuk keesokkan harinya. Kita pasti tidak dapat menentukannya. Sahabat...andai nyawa kita diambil ketika ini atau mungkin ketika melangkah keluar dari pintu rumah adakah kita sudah bersedia untuk membawa bekalan ke sana nanti untuk mengharungi soalan-soalan malaikat di dalam kubur bersama siksaan yang menanti, bekalan yang membolehkan kita mengharungi titian sirat dengan mudah atau jatuh dibakar api neraka yang menjulang tinggi. Adakah kita sudah bersedia?

“ya allah ampunilah dosa –dosa yang telah kami lakukan ya allah. Teguhkan iman kami dan masukkanlah dari kalangan hamba-hambamu yang bertaqwa dan janganleh engkau tutupkan hati kami dan engkau hitamkan hati kami dari melihat kebenaranmu ya allah. Ya allah kami tidak layak ke syurga mu namun kami tidak berupaya menanggung siksa nerakamu yang amat pedih.”

Wahai wanita secantik hiasan dunia,

Sudahkah kita bersedia menghadapi siksa neraka allah?

Sudahkan kita persiapkan diri menghadapi soalan kubur?

Jangan biarkan hari-hari itu berlalu begitu sahaja jadikan setiap nafas kita bertasbih kepada allah untuk mendapat keredhaannya. Seandainya kita ingin melakukan dosa cuba kita pasangkan sebuah lilin dan letakkan tangan kita diatas lilin yang menyala itu selama 3 minit pasti kita akan mengadu kesakitan. Cuba kita bayangkan bahawa api lilin itu hanya sezarah api dari api neraka yang akan membakar kita kelak. Ya allah pedihnya siksaanMU.

Wahai wanita hiasan dunia, tutupilah aurat mu semoga engkau dipandang tinggi disisi allah dan kehormat Mu terpelihara dari mainan sang makhluk bernama lelaki. semoga engkau menjadi sehebat rabiatul adawiyah wanita mulia menyerahkan hidup untuk allah dan rasul. walaupun didunia kita bukanlah wanita secantik siti nurhaliza ataupun semenarik Angelina jolie tapi sedarlah sahabat kita lebih cantik dan menarik di pandangan allah sang penguasa alam menciptakan langit dan bumi. Dimanakah pilihan kita samaada mahu dipandang tinggi oleh makhluk yang lemah bernama manusia ataupun dipandang tinggi disisi allah swt yang maha berkuasa yang menguasai hari pembalasan...marilah sama2 kita mencari mardhitillah, semoga kehidupan dunia dan akhirat menjadi milik kita.

Teringat saya kepada satu hadis: “jika kamu inginkan dunia carilah dengan ilmu, jika kamu inginkan akhirat juga dengan ilmu dan jika kamu ingin kedua-duanya juga dengan ilmu”

Semoga pencarian kebenaran kita dengan ilmu berlandaskan al quran dan as sunnah. Jangan pejamkan matamu dari kebenaran dan jangan tulikan telinga mu dari mendengar nasihat dan pengajaran dan jangan hitamkan hatimu dengan maksiat(dosa-dosa) yang sering dilakukan samaada sedar ataupun tidak. Semoga hidayah allah untuk kita, semoga hati kita disirami iman dan ketaqwaan, semoga pancaindera kita sentiasa mendengar, melakukan dan bercakap untuk kearah kebaikan menjadi hujah kita di akhirat kelak. Insyaallah, doaku buat diri ini dan teman-teman yang amat kukasihi semoga kasih sayang, rahmat dan iman dari allah sentiasa bersama kita sehingga mata ini tertutup rapat, ketika nafas terhenti dan terlerainya nyawa dari badan tanda kita telah kembali kepada sang pencipta mendengar keputusan hisab kita samaada syurga atau neraka...renungkan sejenak dimana amal kita, dimana kita setelah menutupkan mata...wallahualam....

Nukilan,

Cinta_syahid(2 feb 2009)